Kenapa kita menyambut 'Eidul Fitri?

بسم الله الرحمان الرحيم
Assalaamu'alaikum wr wb.

Alhamdulillah, kita telah dipanjangkan umur untuk bertemu hari terakhir bulan yang penuh barakah ini.
Dan kini, kita telah pun tiba di hari yang terakhir...
MasyaAllah... cepat sungguh masa berlalu...

Terasa amalan yang telah dilakukan tidak cukup lagi..
Semoga umur kita dipanjangkan untuk bertemu Ramadhan yang seterusnya... ameen.

Ramai yang mengatakan bulan Ramadhan ini ibarat universiti dan tatkala tamatnya tempoh ramadhan, kita mungkin akan grad dengan segulung ijazah atau mungkin juga bertangan kosong sahaja.

Di setiap universiti, selepas grad, kita akan menemui masa yang amat sukar untuk kita di mana setiap ilmu yang telah kita pelajari harus diamalkan. Ya, waktu bekerja.
Untuk amalan bulan Ramadhan, waktu 'bekerja' adakah pada bulan-bulan yang seterusnya.

Sepanjang Ramadhan, kita telah mengislah diri kita, mempertingkatkan iman kita, memperbanyakkan amalan sunnah, sering bertadarrus, menjaga kata-kata, bersabar, dan sebagainya. Apakah amalan-amalan ini akan berterusan?
Atau adakah ia akan berhenti sebaik sahaja TV memainkan rancangan hari raya?

Apakah al Quran yang sentiasa dekat di hati dan tangan akan dibawa ke mana-mana selepas Ramadhan?

Adakah umpatan akan membasahi lidah kita sebaik sahaja Syawal tiba?

Adakah kesabaran kita akan terhad atau kurang hadnya selepas sebulan mendidik diri untuk bersabar?

Jika di bulan ramadhan ini kita sering berjaga malam untuk bersujud dan berdoa memohon keampunanNya, apakah di bulan-bulan seterusnya kita akan melakukan yang sama?
Atau kita hanya akan berjaga malam untuk belajar, bersembang dengan rakan-rakan, menonton TV atau movie di laptop?

Renungan untuk diri yang sangat lemah ini juga...
InsyaAllah, semoga kita dapat istiqamah dalam amalan kita sewaktu Ramadhan pada bulan-bulan yang lain..

Jika bulan-bulan yang akan datang ini adalah ibarat waktu pekerjaan, bulan Syawal pula bagaimana? Apa sebenarnya yang kita sambut pada hari raya?

Di kala hari raya, apa yang kita merayakan adalah perubahan yang telah kita usahakan sepanjang Ramadhan.. Perubahan kita untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik, seorang mu'min yang lebih soleh, dan seorang hamba Allah yang lebih taat, insyaAllah.

Seorang hamba yang lebih dekat kepada al-kholiq,
Seorang yang lebih penyabar, lebih pemaaf dan lebih rendah diri dari sebelumnya.

InsyaAllah, jika sepanjang Ramadhan kita telah usaha dengan sepenuhnya untuk mencapai semua ini, maka Hari Raya adalah hari untuk kita.

Jika sepanjang Ramadhan kita seperti biasa sahaja, puasa tidak, sembahyang tidak, mengumpat seperti biasa dan sebagainya... maka, apa yang nak kita raikan di hari pertama bulan Syawal ini?

Hari raya tidak bermaksud baju baru yang mahal , kasut baru yang berkilau ataupun barangan emas yang 'pakai dulu bayar kemudian' ..ia adalah perayaan fitrah kita di mana kita sepatutnya kembali kepada fitrah yang suci. Sebab itu hari raya dinamakan 'Eidul Fitri.. (عيد الفطر)iaitu, perayaan fitrah.

Wallahua'laam.
Apa yang Qur telah tulis di atas adalah hasil bacaan di web lain-lain dan secubit dari ilmu Allah yang telah Dia pinjamkan kepada Qur.

Semoga Syawal ini lebih bermakna dari Syawal yang sebelumnya insyaAllah.
Sekali lagi Qur ambil kesempatan untuk memohon maaf atas segala salah dan silap yang telah Qur lakukan.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semuanya..

Berpada-padalah bila bergembira,
sesungguhnya ketawa yang berlebihan itu mematikan hati.
Ingatlah Allah di mana-mana,
sesungguhnya ajal akan sampai tanpa kita sedari.

Peringatan untuk diri ini yang sering terlupa dan semua pembaca insyaAllah...
Wallahua'laam.

Assalaamu'alaikum wr. :)

No comments