Orang Suka?

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yg dusta.” 
[Surah Al-Ankabut : 2-3] 

Setiap orang beriman itu akan diuji. Dan biasanya, apabila perkataan 'ujian' disebut, perkara-perkara yang terlintas di minda selalunya adalah perkara negatif... Contohnya: kematian, kesusahan, disingkir, kemiskinan, dll.

Namun, kita sering terlupa bahawa perkara-perkara yang 'baik' (di mata manusia) juga adalah ujian Allah. Contohnya: kekayaan, populariti, kemudahan, dll.

Biasanya, di sekolah atau di universiti, atau di kerja sekalipun, pasti ada antara kita yang mungkin tak berapa disukai orang...

Kita tak punyai ramai kawan,
kalau makan pun sorang-sorang,
balik dari kelas sorang-sorang,
kalau nak masuk kumpulan, kita orang yang terakhir dipilih,
Kita mungkin tak begitu 'influential',
pendapat dan idea kita ditolak ke tepi dan tidak dihiraukan...
Hatta ketika berjalan pun kita dilanggar/ditolak kerana orang tak pentingkan dan tak sedar kehadiran kita. (Jangan terkejut, perkara ini ada terjadi).

Andai kita orang jenis ini, kita akan anggap ini satu ujian dari Ilahi, betul?



Tetapi, bila kita jenis orang yang disukai dan dikenali ramai:

kita agak 'influential',
kata-kata kita orang dengar dan sahut,
Idea dan pendapat kita orang ambil bulat-bulat dan disokong tanpa bantahan,
makan berkawan, pulang kelas berkawan...
Kita sering dijadikan ketua dalam kumpulan,
ke mana sahaja kita pergi, orang akan bertegur sapa (walaupun ada yang tak dikenali),

Sedar atau tidak, ini pun sebenarnya satu ujian juga. Dan pada pendapat Qur sendiri, ujian jenis ini lebih berat sebenarnya. Sebab, ujian ini kita tak sedar dan tak nampak. Kita akan menganggapnya sebagai satu nikmat yang diberi.

Lalu, mudah sahaja untuk kita terleka dengan 'nikmat' yang dirasakan itu. Mudah sahaja untuk kita tergelincir dengan 'populariti' yang dihadapi. Mudah sahaja untuk jatuh ke lubang kesombongan, bangga diri, takabbur dan juga riak

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." 
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

Na'udzubillah min dzaalik. Andai kita punya kawan yang seperti ini, rajin-rajinlah beri peringatan kepadanya.
Manusia ni sering terlupa... dan jika kita benar-benar sayang kawan itu, ingatkanlah dia.

Andai dia tak hiraukan kita, doakanlah yang terbaik untuknya. Tak apa, usaha telah anda lakukan, serahkan selebihnya kepada Tuhan. :)

Sentiasalah bersihkan hati,
kerana ia begitu lembut.
Mudah sahaja dipengaruhi,
mudah sahaja terikut-ikut.

Ingatlah Allah di mana-mana,
Ingatlah Dia setiap masa.
Semoga kita tergolong bersama,
di Syurga-Nya selamanya.

Amin.

Allahua'laam.
Assalaamu'alaikum.

No comments